HALAMAN UTAMA

Serbuan ke Atas Skim Kewangan Haram Menggunakan Emas


Assalamualaikum, masyarakat kini kian mencari-cari apakah pelaburan yang boleh membawa keuntungan dalam jangka masa yang singkat sehinggakan tidak menyangka tindakan tersebut kadang-kala menyebabkan kerugian yang sangat besar kepada ekonomi kewangan diri sendiri dan keluarga. Dan yang terkini, adalah skim pelaburan emas yang kian popular dan sehinggakan wujudnya skim-skim yang tidak diluluskan oleh bank negara. Oleh yang demikian, pihak Bank Negara Malaysia (BNM) bersama beberapa agensi telah pun membuat serbuan bagi membanteras aktiviti haram ini. Maka beberapa persoalan yang dijawab berikut untuk panduan masyarakat Malaysia.

Oleh itu, susulan dengan banyak pertanyaan yang diterima oleh agensi-agensi penguat kuasa berhubung dengan tindakan yang diambil baru-baru ini terhadap syarikat-syarikat yang disyaki menjalankan skim kewangan haram menggunakan emas, berikut adalah soalan lazim berserta jawapan untuk rujukan orang ramai, khususnya pihak-pihak yang terbabit.

S1:  Mengapakah pihak berkuasa membuat serbuan ke atas syarikat-syarikat tersebut?
J:   Serbuan dibuat bagi melindungi kepentingan para pelabur daripada melaburkan lebih banyak wang dalam skim yang berisiko, dan juga untuk melindungi kepentingan orang ramai. Syarikat yang terbabit sedang dalam siasatan kerana disyaki melakukan kesalahan, termasuk mengambil deposit secara haram, mengubah wang haram, mengelakkan cukai, memberikan maklumat palsu termasuk pernyataan yang salah, melantik ejen tanpa lesen dan gagal mengemukakan dokumen berkanun. 

S2: Mengapakah timbul kebimbangan terhadap model perniagaan syarikat-syarikat tersebut?
J:   Kebimbangan ini timbul kerana syarikat-syarikat tersebut dipercayai menjalankan skim yang tidak dapat bertahan lama. Syarikat-syarikat tersebut menjanjikan pelabur pulangan bulanan yang lumayan dan jaminan belian balik emas. Skim tersebut bukan dibiayai oleh jual beli emas yang sebenar, sebaliknya dibiayai dengan menggunakan wang yang baru dilaburkan dalam skim ini. Jumlah aset dan wang yang ada pada syarikat-syarikat ini biasanya tidak sepadan dengan jumlah yang dikumpulkan daripada para pelabur.

S3:  Mengapakah pihak berkuasa hanya mengambil tindakan sekarang? 
J:   Sebarang tindakan penguatkuasaan hanya boleh diambil setelah didapati terdapat sebab-sebab yang boleh dipercayai bahawa sesuatu kesalahan telah dibuat. Ini bagi mengelakkan sebarang tindakan penguatkuasaan yang terburu-buru atau melulu yang mungkin boleh menjejaskan perniagaan yang sah.

S4:  Apakah status tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa?
J:   Siasatan masih lagi berjalan. Orang ramai akan dimaklumkan oleh pihak berkuasa mengenai status terkini siasatan dari semasa ke semasa. Orang ramai dinasihati supaya merujuk kepada kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh agensi penguat kuasa undang-undang sahaja untuk sebarang maklumat terkini kes-kes ini.

S5:  Berapa lamakah tempoh siasatan?
J:   Tempoh siasatan akan bergantung pada tahap kompleksiti dan keseriusan kes. Tahap kompleksiti telah meningkat disebabkan oleh dimensi antarabangsa kes-kes tersebut. Kerjasama daripada pihak yang terbabit akan membantu proses siasatan. Siasatan ini diberi keutamaan yang tinggi dan semua sumber yang perlu telah digembleng oleh agensi penguat kuasa yang berkenaan untuk mempercepat siasatan.


S6: Mengapakah aset dibekukan dan dirampas?
J:  Berhubung dengan kes skim kewangan haram yang disyaki, pihak berkuasa boleh menjalankan operasi mencari dan merampas bagi mendapatkan bukti dan untuk mengelakkan syarikat daripada menyembunyikan atau memusnahkan bahan bukti. Ini juga menghalang aset daripada lesap kerana ia akan memberikan kesan buruk kepada pelabur. Di bawah seksyen 44 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Akta Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA), agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang diberikan kuasa untuk membekukan apa-apa aset apabila disyaki bahawa suatu kesalahan pengubahan wang haram telah dilakukan.

S7: Apakah yang akan terjadi kepada aset dan emas yang dirampas?
J:   Aset yangdirampas semasa serbuan dibuat akan didokumenkan dengan teliti dan diambil kira serta disimpan di tempat yang selamat.  Sekiranya terdapat prosiding jenayah, aset tersebut hanya boleh diuruskan atas perintah Mahkamah.          

S8:  Bolehkah pelabur yang terbabit menuntut kembali wang atau emas mereka daripada aset yang dirampas?
J:   Aset yang dirampas semasa siasatan dijalankan hanya boleh diuruskan atas perintah Mahkamah. Pelabur mungkin boleh memfailkan kepada Mahkamah tuntutan pihak ketiga bagi pemulangan wang atau emas mereka. Maklumat tentang sama ada dan bagaimana untuk memfailkan sesuatu tuntutan akan diberitahu apabila prosiding mahkamah selesai.

S9: Apakah nasihat kepada orang ramai yang ingin melabur? 
J:Orang ramai dinasihati supaya sentiasa berhati-hati terhadap skim pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi dengan risiko yang kelihatan rendah, dengan memberikan jaminan bahawa jumlah pokok yang dilaburkan akan dipulangkan. Orang ramai juga dinasihati supaya merujuk kepada agensi yang berkenaan apabila berurusan dengan syarikat atau individu yang menawarkan peluang perniagaan atau perkhidmatan kewangan yang kelihatan menarik tetapi tidak diberikan lesen oleh pihak berkuasa. Sebagai panduan, orang ramai digalakkan mengambil perhatian perkara berikut apabila menilai sesuatu skim pelaburan:
  • Ingatlah – sekiranya skim tersebut adalah indah khabar dari rupa, berkemungkinan besar skim tersebut adalah skim palsu;
  • Berwaspada dengan skim Ponzi. Ia merupakan skim pelaburan yang berunsur penipuan apabila pengendalinya mengambil wang daripada pelabur baharu untuk membayar kepada pelabur awal atau sedia ada.  Akhirnya, akan sampai satu peringkat apabila jumlah pelabur baharu tidak mencukupi untuk menyokong skim ini dan seterusnya keseluruhan skim mengalami kegagalan;
  • Berurusan hanya dengan institusi kewangan berlesen dan peniaga yang sah;
  • Rujuk kepada pihak berkuasa yang berkenaan sebelum melabur/mendeposit wang;
  • Jangan terpengaruh atau terburu-buru untuk melabur;
  • Hendaklah lebih berhati-hati dengan pelaburan melalui Internet;
  • Berwaspada dengan apa-apa peluang pelaburan yang tidak bertulis;
  • Jika pelaburan telah dibuat, simpan salinan semua dokumen pelaburan; dan
  • Rujuk laman sesawang amaran penipuan kewangan berikut:
Sekiranya anda mengetahui skim pelaburan yang berunsurkan penipuan, anda digalakkan untuk membuat laporan polis.

Kenyataan bersama oleh:
Polis Diraja Malaysia
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan
Suruhanjaya Syarikat Malaysia
Bank Negara Malaysia
 
Sumber: Facebook BNM

Semoga soalan yang tersebut dapat memberikan penjelasan kepada anda yang masih mahukan penjelasan.

Sekian, Terima kasih.
MINDA INSAN - Info Ditambah, Minda Bercambah.

Tiada ulasan:

Nuffnang